Kenali Kampung
Sejarah ringkas penempatan Desa KEDA Wang Tok Rendong
Desa KEDA Wang Tok Rendong
Desa KEDA Wang Tok Rendong merupakan salah satu penempatan yang dibangunkan di bawah Kampung Tradisional oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) pada tahun 1985.
Pada tahun 1987, penempatan ini mula diduduki dengan bilangan rumah sebanyak 170 buah rumah dan memberi manfaat kepada 850 orang penduduk di Daerah Langkawi.
Sejarah Kampung
Pada suatu masa dahulu, seorang peneroka telah mendiami kawasan ini. Beliau merupakan individu terawal yang menduduki kawasan lembah tersebut. Beliau dikenali sebagai ‘Tok Rendong’ dan nama ‘Wang’ diambil bersempena lembah tersebut yang dikelilingi oleh bukit.
Kebanyakan penduduk kampung yang mendiami di sekitar kampung tersebut mula masuk untuk meneroka kawasan ini untuk dijadikan sebagai kawasan penempatan dan pertanian.
Kemudian pada tahun 1983, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah mengenalpasti kawasan ini untuk dijadikan sebagai perkampungan tersusun.
Geografi
Desa KEDA Wang Tok Rendong terletak di kawasan lembah yang dikelilingi dengan bukit. Terdapat juga kedudukan tanah yang landai menyebabkan kawasan seluas 21.16 hektar ini telah diusahakan dengan tanaman kontan seperti jagung, bendi dan pisang.
Kepimpinan
Desa-desa KEDA yang diwujudkan mempunyai Jawatankuasa Pasukan Perancang Pelaksana Program (4P) yang dipilih melalui Mesyuarat Agung 4P yang diadakan 2 tahun sekali bagi merancang dan melaksanakan program atau aktiviti untuk pembangunan Desa KEDA ke arah melahirkan komuniti yang sejahtera.
Pejabat KEDA Zon 1, Langkawi yang diketuai oleh Pegawai Pembangunan Zon dan seorang penyelia merupakan wakil KEDA yang dipertanggungjawab untuk membangunkan Desa KEDA Wang Tok Rendong.
Penyelia kampung akan berhubung dengan Jawatankuasa 4P yang akan membantu pelaksanaan program dan tugas-tugas lain yang diarahkan dari semasa ke semasa.
Jawatankuasa 4P terdiri daripada 15 ahli jawatankuasa iaitu Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Setiausaha, Bendahari dan 11 Biro yang membantu KEDA melancarkan perjalanan program demi memastikan kesejahteraan penduduk.